Saturday, October 23, 2010

Terima kasih Tuhan

Keluarga Bahagia

Pagi ini saya rasa sangat tenang dan gembira kerana berkesempatan menunaikan solat Subuh berjemaah dengan suami. Benarlah anjuranNya yang menggalakkan kita solat berjemaah. Selain mendapat keredhaanNya, kita juga akan mendapat nikmat ketenangan dan kasih sayangNya. Silaturrahim dan tautan hati ahli jemaah akan menjadi lebih erat. Apalagi suami dan isteri serta anak-anak. Petua kasih sayang dan mahabbah dalam rumahtangga,...banyakkan solat berjemaah dalam keluarga (suami, isteri dan anak-anak). 

 Anak-anak sengaja kami kejutkan lewat sedikit. Kelihatan mereka sangat penat kerana malam semalam pulang agak lewat....ziarah keluarga di Subang (ziarah mertua, keluarga adik ipar dan abang ipar). Selesai sahaja solat Subuh, suami saya mengejutkan anak-anak. Saya meneruskan zikir sementara menunggu suami kembali... Abang Long dan abang Ngah bangun... Abang Long steady je...Bangun terus masuk toilet,..mandi,..berwudhuk. Abang Ngah pula bangun melelong-lelong terus ke sofa. Abang Ngah bersuara dengan serak-serak basah "Ummi,..kalau dah pagi, ummi dan abah tak payah kejutkan. Abang Ngah boleh bangun sendiri,..Abang Ngah dah pandai bangun pagi-pagi..." Mata masih terpejam, melentok di sofa. Hati rasa tercuit dengan gelagatnya.

Saya cuba mencuit keegoan anak ini. "Abang Ngah kalau dah boleh bangun sendiri, abang Ngah dah boleh terus ambik wudhuk dan solat Subuh sama-sama." Matanya terkedip-kedip...Masih belum bergerak ke bilik air. Sempat anak ini melontar satu soalan dalam mamainya. " Ummi,..kenapa kita tak boleh kata Tuhan tu kecik?" Aku teringat kisah pagi semalam. Aku menegur sikapnya apabila dia menyebut "Tuhan kecik". Anak seusia 5 tahun belum lagi mengerti banyak perkara tentang akidah dan kepercayaan. Justeru, peranan ibu bapa sangat penting dalam membentuk pegangan dan akidah anak-anak.

Aku mengambil peluang ini sebaiknya. " Angah,.. Allah itu Maha Besar dan Maha menguasai segala-galanya. Kita ini hambaNya. Allah adalah Tuhan yang menciptakan kita. Dia tidak sama dengan manusia dan makhluk lain. Jadi,..Kita tak boleh samakan Allah dengan sifat manusia yang kecik, tinggi, gemuk dan sebagainya. Di dunia ini kita tidak akan dapat melihatnya. Tapi Dia Maha melihat kita. Kalau Angah nak jumpa Allah, Angah kena solat,..kena jadi anak yang soleh. Barulah di Akhirat nanti Angah boleh jumpa Allah."

Abang Ngah membuka mata dan tersenyum. Bangun dari sofa, melangkah ke bilik air. Sempat satu ayat keluar dari mulutnya yang suka berceloteh,"Abang Ngah nanti nak ngaji dengan Ummi lepas solat". Dia berwudhuk dan keluar dari bilik air menuju ke sejadah. Abang Long sudah bersedia untuk solat Subuh. Abang Ngah cepat-cepat datang dan berdiri di sebelah abang Longnya. Kedudukannya dibelakangkan sedikit dari abang Long. Abang Long jadi imam, Abang Ngah jadi makmum.

Saya dan suami memerhatikan sahaja gelagat kedua anak ini berjemaah. Sambil hati menguntum senyum. saya rasa sangat bersyukur kepadaNya kerana mengurniakan anak-anak yang mendamaikan jiwa. Dalam diam hati ini berdoa, "Ya Allah,.. jadikanlah anak-anakku, anak-anak yang soleh dan hambaMu yang taat. Aku bersyukur dengan kurniaanMu dan ujianMu. Ya Allah,..Engkau telah menugaskan aku jauh di sana dalam perjuangan menabur ilmuMu. Peliharalah anak-anak dan suamiku di sini dalam keimanan dan ketaqwaan. Peliharalah kasih sayang di antara kami. Terima kasih Ya Allah kerana mengurniakanku sebuah keluarga yang amat mendamaikanku. Hancurkanlah segala usaha mereka yang cuba merosakkannya. SesungguhNya Engkau Maha berkuasa. Tiada apa yang dapat menghalangMu. Kumpulkanlah kami sekeluarga Ya Allah...Mudahkanlah segala urusanku. Mudahkanlah segala urusan suamiku. Mudahkanlah segala urusan anak-anakku. Ameen..."

Selesai kedua anak-anak ini solat, Abang Long terus mencapai muqaddam. Abang Ngah pula membawa Iqra'. Keduanya datang bersila di sebelah. Hati rasa tenang dan bahagia, dapat menunaikan tugas sebagai ibu...Biarpun sedikit rasa kesedihan kerana petang ini saya akan berangkat ke permukiman ilmu  untuk meneruskan tugas-tugas di kampus sana. Harapan saya suatu hari nanti, saya akan dapat bertukar ke kampus yang lebih dekat dengan keluarga saya di sini. Moga Allah terus memberi kekuatan buat saya dan keluarga. Ameen


No comments: