Tuesday, August 31, 2010

Al-Quran Panduan Hidup

InsyaAllah 8 hari lagi umat Islam akan menyambut Lebaran. Tanda kemenangan dalam mujahadah sepanjang Ramadhan. Bererti,...Ramadhan semakin hari akan meninggalkan kita. Moga Ramadhan ini adalah Ramadhan yang bererti dan terisi dengan amalan-amalan yang diredhai-Nya.


Al-Quran adalah panduan dan pegangan hidup kita umat Islam. Membacanya merupakan ibadah. Apalagi di dalam bulan puasa. Sudah pastinya pahalanya berganda. Membaca al-Quran juga menyucikan jiwa manusia, memberikan ketenangan dan mendapat keberkatannya. SesungguhNya Allah telah berjanji, barangsiapa yang membaca kitab al-Quran dan diikuti dengan amalan praktikal, melaksanakan perintah dan menjauhi larangan-Nya, maka dia tidak akan tersesat selama hidup di dunia pada waktu ramai manusia telah tersesat. Begitu juga di akhirat dia tidak akan sengsara ketika orang lain dalam keadaan sengsara.


Allah juga telah berjanji barangsiapa yang tidak mahu memerhati al-Quran, berpaling darinya, tidak menghayatinya serta tidak membaca dan mengamalkannya, maka Allah akan menurunkan kesengsaraan baginya berupa kehidupan yang susah, kesengsaraan melanda, kerugian dan jauh kasih sayang Allah. Kehidupannya juga tidak tenteram. Di akhirat kelak dia akan dihinakan Allah di hadapan khalayak ramai.


Allah Berfirman dalam surah Thaha : 126, "Demikianlah telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan."


Firman Allah lagi dalam surah al-Furqan : 30, "Berkatalah (Rasulullah), Ya Tuhanku, sesungguhNya kaumku menjadikan al-Quran ini suatu yang tidak diendahkan"

Sebahagian ulama mengatakan bahawa al-Quran terabai dengan 5 perkara :

1. Hilangnya al-Quran dengan sebab tidak dibaca

2. Lenyapnya al-Quran dengan sebab tidak direnungi

3. Pupusnya al-Quran dengan sebab tidak diamalkan

4. Al-Quran terabai apabila ia tidak dijadikan penawar

5. Al-Quran hanya dibacakan pada waktu kematian, pernikahan dan majlis-majlis.

Justeru para sahabat, sama-samalah kita menghayatinya. Jangan tinggalkan ia di atas almari, rak, laci dan di mana sahaja dilitupi debu-debu dan habuk. Bacalah dan hayatilah ia. Nescaya kita akan merasai ketenangan yang cukup mendamaikan.