Saturday, October 16, 2010

Inilah Kehidupan

,





Salam buat pembaca,...

Kehidupan adalah suatu medan peperiksaan yang akan menguji sejauh mana keampuhan diri dalam mendepani cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam kehidupan. Adakalanya ujian yang dihadapi amat getir dan payah. Terasa buntu untuk berfikir dan terasa berat untuk terus melangkah mengharungi kehidupan. Namun, ... selagi nafas masih ada dan selagi nadi masih berdenyut, selagi itulah ujian dari-Nya pasti mendatang.

Ingat wahai diri dan teman,.. menghadapi ujian-ujian hidup, tidak mungkin senang tanpa iman dan taqwa yang kukuh. IMAN ... TAQWA... adalah terjelma hasil dari ibadah yang ikhlas kepada-Nya.



Sebenarnya,.. mereka yang diuji adalah insan yang sangat beruntung di dunia ini. Dia adalah insan yang dipilih Allah untuk diberi pahala yang besar hasil kesabaran, keimanan, dan ketaqwaannya dalam mengharungi ujian-ujian dari-Nya. Dia juga adalah insan yang dipilih Allah untuk diangkat darjat keimanannya di sisi-Nya. Dia juga adalah insan yang dipilih Allah untuk diberi kekuatan dan kekentalan jiwa. Dan,.. yang pasti, dia adalah insan yang dipilih Allah agar kembali mengingati-Nya dan merindui-Nya di saat ramai lagi insan-insan yang hanyut dalam kelalaian. Segalanya sudah pasti ada hikmah yang tersembunyi....suatu hari nanti akan dirasai hamba-Nya.



Dari kisah para sahabat baginda SAW, merasai kesakitan dan ujian adalah suatu yang diharapkan kerana mereka merasakan apabila berada dalam kesakitan dan ujian akan mengingatkan diri mereka kepada Allah SWT. Malah, mereka akan merasa sedih jika tiada sebarang ujian dan kesakitan yang ditimpakan kerana beranggapan Allah sudah tidak menyayangi mereka. Mereka pasti akan berdoa agar Allah memberi ujian dan menimpakan sakit kepada mereka.



Justeru,...untuk apa kita bersedih dan merasa lemah di saat diri diuji . Bangunlah,..dan bangkitlah wahai jiwa... Lawan segala perasaan dan godaan nafsu syaitan. Persiapkan diri untuk menghadap-Nya di tikar sejadah. Alunkanlah suaramu dengan zikir dan al-Quran... saat itu Dia menggamitmu dan memanggilmu untuk sujud kepada-Nya. Pasti jiwamu akan tenang dan tenteram biarpun seberat mana ujian yang menimpa. Sesungguhnya ujian-ujian itu adalah suatu proses kematangan dan melengkapkan diri setiap insan.



Ingatlah wahai diri dan teman,.. setiap ujian yang ditimpakan ke atas kita pasti dapat kita hadapinya dengan keimanan dan ketaqwaan kerana Dia Maha Mengetahui kekuatan dan kemampuan setiap hamba-Nya. Sebagaimana yang difahami dari surah al-Ankabut ayat 1 :



"Apakah mereka menyangka bahawa mereka akan dibiarkan saja ketika mana mereka berkata 'aku beriman', sedangkan mereka belum lagi diuji"

* Jadikanlah Al-Quran Itu Surat Cintamu
* Jadikanlah Solat Itu Penghubung Dengan Tuhanmu
* Jadikanlah Zikir Itu Kerinduanmu
* Jadikanlah Mati Itu Pertemuan Pertama Dengan Kekasihmu.

1 comment:

blog-tips-kurus said...

sis,
tahniah kerana BERJAYA meneruskan perjuangan.
akhirnya blog ini masih bernafas untuk terus berbakti kepada Alif Ba Ta..