Monday, October 18, 2010

Hati seorang pendidik

Isnin (11.10.10)

Pagi itu sungguh nyaman udaranya. Sebagaimana rutin aku melangkah ke bilik kuliah, melaksanakan tugasku sebagai pensyarah.

Hari ini terasa agak bersemangat untuk mengajar. Minggu ini adalah minggu akhir sebelum final exam students. Mungkin takkan ada peluang lagi untuk mengajar mereka pada semester depan. Alhamdulillah,... kehadiran pelajar amat baik. Mungkin kerana minggu-minggu akhir mereka ingin memanfaatkan sebaik mungkin kelas yang ada.

Aku mengupas tentang tajuk "Akhlak dalam pembentukan jati diri Muslim". Emm,... tajuk yang menarik. Kupasan yang perlu didengar dan dihayati oleh semua muslim. Pelajar-pelajarku khusyuk mendengar celotehku dengan diselang seli persoalan-persoalan yang aku lontarkan. Beberapa pelajar memberi pandangan.

Dalam kupasan ini aku turut menyelitkan tentang akhlak dengan Allah, Rasul dan Ibu bapa. Di pertengahan kupasan dan syarahan ada seorang pelajar lelaki meminta izin keluar sebentar. Aku meneruskan syarahan dengan penuh semangat. Harapanku anak-anak didikku sekalian akan dapat menghayati dan mempraktikkan apa yang disampaikan. Semoga mereka menjadi insan yang beriman dan beramal soleh. Biar apa pun karier yang mungkin mereka ceburi, mereka tetap seorang muslim yang istiqamah.

Di akhir kuliah datang seorang pelajar siswi. Kelihatannya seperti menahan tangis. Ketika itu sudah ramai pelajar yang keluar. Dia menghampiriku. Lalu berkata ,"Ustazah,...saya nak mintak tolong dengan ustazah"... "Ya,..apa yang boleh ustazah bantu?" aku membalas. "Ustazah,..saya rindukan ibu,... kalau ustazah izinkan, saya ingin peluk ustazah...". Air matanya mula menerobos keluar tanpa dapat ditahan, membuatkan hati keibuanku terusik. Aku membalas sambil merangkulnya seumpama anakku sendiri ." Apa salahnya.. Kenapa? kamu rindukan ibu di kampung?"....Esakannya bertambah. Pelajar itu memelukku erat. Dia menyatakan apabila dia melihatku, dia teringatkan ibunya di kampung. Aku rasa gembira dan terharu kerana dapat membantunya di saat dia kerinduan pada ibunya. Nasihatku padanya agar dia segera menghubungi ibunya di kampung. Barangkali ibunya sedang merinduinya.

Seusai pelajar itu keluar dari bilik kuliah, aku termenung seketika... Barangkali ada di antara penyampaianku tadi yang telah  menyentuh perasaannya... Alhamdulillah. Terima kasih Tuhan...Sekurang-kurangnya ada hati yang dapat kusentuh hari ini agar kembali mengingatimu dan mengingati insan-insan yang banyak berjasa kepada seorang anak. Moga aku akan terus menyumbang bakti dan ilmu pada mereka yang memerlukan...

No comments: