Saturday, February 20, 2010

Aduhai Mata...




Saya baru sahaja selesai membaca 1/3 kandungan sebuah buku yang dihadiahkan suami. "Tanggungjawab Pendidikan Seks Menurut Islam" - Dr. Abdullah Naseh Ulwan, sebuah buku terjemahan dari kitab Tarbiyah al-Awlad fi al-Islam. Melihatkan tajuk pada awalnya terasa agak jengkel. Namun kandungannya saya rasakan sangat berguna kepada kita. Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama. Malah, intipati buku ini akan saya manfaatkan untuk pendidikan anak-anak dan pelajar-pelajar saya.

Saya ingin mengambil contoh pada senario dan permasalahan masyarakat kita... dan ia turut menjadi salah satu tanda -tanda hampir kiamat...Lesbian dan gay!!!..Barangkali kita juga akan bertanya pada diri, Mengapa gejala ini boleh berlaku? Seorang perempuan cenderung kepada perempuan dan lelaki cenderung kepada lelaki. Homoseksual... Bukankah ini menyalahi fitrah manusia...Apalagi gejala ini akan mengundang bahaya dan penyakit pada masyarakat kita. Adakalanya kita juga risau perkara ini akan berlaku pada anak-anak dan keluarga kita.

Saya menemui jawapan pada kerisauan dan persoalan ini. Bukankah Islam itu syumul dan lengkap... Allah telah menurunkan panduan lengkap kepada kita bagi membendung gejala ini. Semuanya ini kembali kepada persoalan "pandangan mata". Orang kata dari mata turun ke hati... Kalau mata tidak memandang dan melihat masakan hati boleh berkenan dan jatuh cinta. Surah al-Nur : ayat 30-31 menyatakan maksudnya ;

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki-lelaki beriman supaya mereka menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang haram ), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka." (al-Nur : 30-31)

Lesbian , gay dan segala gejala yang berpunca darpada seksual sebenarnya berlaku kerana kita tidak terdidik dengan adab-adab memandang yang Allah telah selitkan dalam ayat tadi. Daripada kitab ini dapat saya petik beberapa perkara tentang adab memandang iaitu :


1. Adab Memandang sesama lelaki

Haram seorang lelaki memandang lelaki yang lain pada anggota badannya di antara pusat dan lutut sama ada yang dilihat itu Muslim atau Kafir. Memandang pada anggota badannya yang lain seperti perut, belakang , dada dan sebagainya adalah diharuskan sekiranya aman daripada syahwat. Sekiranya ada pandangan syahwat maka ia tidak harus dipandang bagi membendung
gejala ini. Pakaian yang ketat dan menampakkan susuk tubuh juga tidak harus dipakai bagi menghalang timbulnya syahwat sekalipun dalam kalangan lelaki. Apalagi mendedahkan pada pandangan yang melihat. Perkara ini sering diambil mudah.

2. Adab memandang sesama wanita

Haram seorang wanita memandang wanita lain pada anggota badan antara pusat dan lutut sama ada wanita yang dilihat itu seorang Islam atau Bukan Islam. Begitu juga pada anggota badan yang lain. Tidak harus dipandang seandainya ada unsur-unsur syahwat. Malah pakaian yang diapakai juga tidak harus menampakkan susuk tubuh pada wanita yang lain kerana dikhuatiri timbul syahwat. Apabila perkara ini dipandang mudah dan tidak diambil perhatian, maka timbullah gejala-gejala lesbian dan sebagainya.

3. Adab wanita bukan Islam memandang wanita Islam

Haram wanita Islam menampakkan mana-mana anggota badannya di hadapan wanita bukan Islam kerana dikhuatiri fitnah. Auratnya sama dengan aurat perempuan Islam dengan Lelaki.

4. Adab lelaki melihat wanita ajnabi

Tidak harus lelaki memandang wanita ajnabi sekalipun aman daripada fitnah. Begitu juga lelaki yang telah remaja atau mumaiyyiz ( 8 - 10 tahun ) tidak harus melihat wanita ajnabi.

5. Adab wanita melihat lelaki ajnabi ( lelaki yg boleh dikahwini)

Harus wanita memandang lelaki ajnabi yang sedang berjalan atau bermain sekiranya aman daripada syahwat. Tidak harus wanita memandang lelaki ajnabi dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah dan syahwat seperti berpandangan dan sebagainya.

6. Adab memandang kepada amrad (remaja yang cantik/tampan paras rupa)

Melihat amrad adalah harus kerana darurat seperti berjual beli, berubat, belajar dan sebagainya. Haram memandangnya sekiranya ada unsur syahwat.

7. Adab memandang mahram (Orang yang diharamkan berkahwin dengan kita)

Lelaki dibolehkan melihat mahramnya dari dada hingga ke atas, dari lutut hingga ke kaki sekiranya aman daripada syahwat. Jika tidak aman daripada syahwat maka tidak harus dia memandangnya sebagai langkah pencegahan. Diharamkan kepada anak perempuan melihat antara pusat dan lutut mahramnya sekalipun anak lelakinya, adik-beradik lelakinya atau bapanya sekalipun aman daripada fitnah dan syahwat.

8. Adab memandang isteri

Harus bagi suami memandang seluruh tubuh anggota isterinya sama ada dengan syahwat atau tanpa syahwat sekalipun afdal suami dan isteri tidak memandang aurat di antara mereka.

9. Adab memandang aurat kanak-kanak

Menurut fuqaha' tiada aurat bagi kanak-kanak kecil di bawah umur 4 tahun . Apabila melebihi 4 tahun auratnya adalah kemaluan hadapan, dubur dan sekitarnya. Apabila ia mencecah usia memiliki syahwat seks maka auratnya seumpama aurat orang yang telah baligh.

10. Adab memandang dalam keadaan darurat

Adab-adab memandang adalah sebagaimana yang telah digariskan di atas. Walau bagaimanapun ia dibolehkan ketika darurat dalam batas-batas tertentu. Keadaan darurat atau keperluan adalah seperti ; ketika meminang, majlis-majlis ilmu (belajar), ketika rawatan, untuk tujuan penghakiman, penyaksian dan seumpamanya.

Apa yang telah digariskan ini adalah satu cara untuk menjauhi pengaruh seks. Malah ia menjadi satu tanggungjawab yang besar kepada ibu bapa dan pendidik untuk membimbing anak-anak dan pelajar menjauhi unsur-unsur sebegini. Apalagi pada anak-anak remaja yang merupakan period yang sangat mencabar dan mudah terpengaruh dengan persekitaran.

Saya ingin memetik maksud hadith riwayat al-Tabarani dan al-Hakim. Al-hakim menyatakan sanad hadith ini sahih daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. Beliau berkata: Rasulullah telah bersabda tentang apa yang telah diriwayatkan Allah SWT (hadith qudsi): " Pandangan adalah antara panahan iblis. Sesiapa yang meninggalkan pandangan tersebut kerana takutkan Ku maka akan Aku gantikan dengan keimanan yang dapat dirasakan kemanisannya dalam hatinya."

Imam Ahmad dan al-Tabarani meriwayatkan daripada Abu Umamah r.a, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda (maksudnya) : " Tiada seorang muslim yang memandang kepada wanita kemudian memejamkan matanya melainkan Allah SWT timbulkan baginya satu ibadah sehingga ia merasakan kemanisan iman dalam hatinya."


Sama-samalah kita memelihara adab-adab ini sama ada kita adalah orang yang melihat atau orang yang dilihat. Alangkah malang dan berdosanya kita andai ada orang yang melihat kita dengan pandangan syahwat atau kita melihatnya dengan pandangan syahwat. Wa Na'uzu Billah.... Wa AstaghfuLlah al-Azim...








Friday, February 19, 2010

Pemurahnya Tuhan

Pagi ini saya termenung seketika...mengenangkan semalam yang dah berlalu. Bermakna sehari kita mendekati penghujungnya. Penghujung yang berakhir dengan penamat nyawa atau penghujung yang berakhir dengan penamat alam ini...
Hati saya penasaran...Mengapa tidak ku manfaatkan hari-hari yang berlalu dengan sebanyak mungkin bekalan ke sana? Andai kata seminit lagi Tuhan akan mengambil Nyawaku atau seminit lagi Tuhan akan memusnahkan alam ini mampukah aku menghadapinya dengan amalan yang sedikit ini.
Tuhan,....
Sungguh Engkau Maha Pemurah. Biarpun terlalu banyak dosa dan kesilapan yang telah aku lakukan, tapi Engkau tetap jua melimpahkan nikmatmu. Aku masih lagi dapat menikmati udaraMu, masih dapat menikmati keindahan alamMu, masih lagi dapat merasai kelazatan juadahMu, masih lagi dapat menggerakkan anggota tubuh ini....Dan yang paling berharga, aku masih dapat merasai kasih sayangMu... Terasa malu diri ini untuk menghadapMu.
Terima Kasih Tuhan....

Permata Hati


Baru sahaja saya menghubungi suami dari kejauhan. Bertanya khabar dan bercerita tentang keletah anak-anak... Alhamdulillah,..semuanya sihat. Segala tugas dan urusan berjalan lancar. Sempat saya menatap wajah-wajah jernih 3 permata hati saya yang sudah lena dibuai mimpi. Terasa menusuk ke sanubari kehangatan kasih sayang mereka ... dan betapa berertinya mereka pada kami ayah bonda... bergenang air mata ini mengenangkan saat kelahiran mereka yang punya kisah masing-masing. Paling memilukan kelahiran anak ketiga... Hampir-hampir saya kehilangannya bila dia dilahirkan pra matang 8 bulan secara pembedahan dengan beberapa komplikasi... Terbayang di fikiran saat-saat kritikal itu. Subhanallah... HasbiAllah... Dia menguji saya... Bila doktor menyatakan degupan jantungnya sangat lemah. Hujung-hujung jari halusnya kebiruan. Dalam inkubator, hanya terbaring seolah kaku. Tiada pergerakan fizikal melainkan kelihatan naik turun dada, tanda ada pernafasan. Tiada ucap bicara. Saya hanya merenung dan menatap wajah kecilnya di wad CCU. Manik-manik jernih mula menerjah turun mengenangkan keadaannya itu. Pergantungan saya tidak terlepas dariNya...Dia menguji keimanan saya ketika itu. Seminggu berada di CCU, akhirnya dia dipindahkan ke ruang recovery. Sudah ada pergerakan dan dibenarkan untuk breastfeeding. Hati saya senang sekali....Namun Dia menguji lagi hambaNya ini. Belum sampai 24 jam berada di ruang itu, permata hatiku ini dikejarkan kembali ke CCU kerana komplikasi pernafasan. Doktor bergegas untuk membantu. Tuhan,..SesungguhNya Engkau Maha Mengetahui betapa aku tidak ingin kehilangannya...Engkau mendengar doa hambaMu ini saban waktu memohon keselamatan permata hatiku ini. Hampir sahaja aku putus harapan ya Allah......Alhamdulillah, akhirnya permata hatiku ini mula menampakkan kemajuan. Dia sudah mula bergerak walau pun tidak kerap disamping mengalami hipotermia. Sering saya bisikkan pada telinganya kata-kata semangat bahawa dia akan sihat dan nanti akan dapat bertemu abang-abangnya yang menanti-nanti kepulangannya. Alhamdulillah dengan izinNya permata hatiku ini kembali pulih. Kini usianya mencecah 3 tahun dan merupakan kanak-kanak yang sangat aktif...Terima kasih Ya Allah. Moga permata-permata hatiku membesar dan menjadi anak-anak yang berakhlak mulia dan beramal soleh. Amiiin.

Wednesday, February 17, 2010

Belukar kehidupan


Lima purnama berlalu...Sang ibu masih teguh berdiri, mengatur langkah..memimpin dan menuntun anak-anaknya menyusur alur dan meredah belukar kehidupan. Biar tanpa pimpinan sang bapa di sisi. Dari kejauhan, doa sang bapa mengiringi...Moga zuriatnya terdidik dengan lenturan akhlak dan budi, terbina keutuhan jasad dan semangat, menggalas tugas khalifah di bumiNya ini. Dari kejauhan jua sang bapa, sang ibu dan anak-anaknya hiba dalam kerinduan. Lantaran tugas jua sang ibu dan sang bapa terpisah buat sementara. Terpisah kerana tugas dan tanggungjawab...Biarpun terpisah dengan jarak,.. hati dan sanubari tetap bertaut jua. Moga suatu hari nanti sang ibu , sang bapa dan anak-anaknya bersatu dalam naunganNya. Amiin.