Monday, March 8, 2010

Solat Macam Abah

Suatu petang hari minggu, saya membentangkan sejadah sebaik sahaja selesai mengambil wudhu' . Lantas saya memanggil putera sulungku yang berusia 7 tahun untuk sama-sama menunaikan solat Asar. Selang beberapa minit Luqman muncul. Wajahnya masih kebasahan dengan wudhu'. Dia datang berdiri di sebelahku menandakan sudah bersedia.


Takbiratul ihram....begitulah sehingga selesai dengan salam. Sepanjang solat aku sempat perasan, kelihatannya Luqman solat dengan penuh Tama'ninah biarpun tidak seiring dengan imamah. Tidak laju seperti selalu...Emm ada perubahan.


Selesai zikir dan doa, aku beralih menghadapnya....

"Luqman,...Ummi tengok bagus sekali solat Asar Luqman tadi."

Luqman diam, hanya bebola matanya memandang wajahku. Ada tanda kehairanan seperti tidak faham dengan cakap Umminya.

"Biasanya Ummi tengok Luqman solat laju semacam aje. Tapi hari ni bagus la. Tak laju..."

Diam lagi... Sememangnya putera sulungku ini pendiam orangnya dan sangat sensitif. Aku memang sudah memahaminya.

"Ustaz ajar kat sekolah ye?"

Luqman geleng.

"Habis tu Ustazah ajar ye?"

Luqman geleng...

Akhirnya dia bersuara "Taklah ummi. Luqman tengok Abah solat macam tu. Luqman pun ikutlah macam yang Abah solat" .

Terharu hatiku. Rasa bangga datang menyelinap di sanubari. Rasa bertuah punya anak yang mampu belajar perkara yang baik dari orang tuanya. Dan rasa bertuah punya suami yang mampu menerapkan nilai-nilai yang baik pada puteranya. Alhamdulillah Ya Allah.

Begitulah kita sebagai ibubapa bertanggungjawab sepenuhnya dalam pendidikan anak-anak. Adakalanya kita lupa bahawa anak-anak senantiasa memerhatikan setiap gelagat dan perlakuan kita. Andainya baik yang kita tonjol baiklah jua yang mereka ambil. Andai buruk yang kita tonjol maka buruklah yang mereka ambil. Justeru, didiklah anak-anak sebagaimana Rasulullah SAW mendidik umatnya.


No comments: